Thursday, 6 April 2017
Atok Aziz
Aku titipkan gambar paling hensem dan bergaya semasa hari raya tahun lepas.
Kelmarin adalah hari lahir dia.
Terimbau kenangan-kenangan bersamanya sewaktu dia masih didunia. Jika dulu setiap kali menziarahi dia dirumah, aku disambut mesra dengan satu senyuman indah, tapi selepas ini aku hanya disambut dengan satu batu nisan yang diam membisu tanpa suara. Jika dulu banyak kisah-kisah lama yang diceritakan buat hiburan, tapi kini hanya mampu ku susun rapi dalam ingatan.
Tiada lagi gelak ketawa yang menceriakan hati. Tiada lagi kata-kata semangat yang menguatkan diri. Hanya mampu ku sematkan dalam memori segala kenangan dan nasihat yang kau pernah beri dulu, buat kekuatan untuk masa yang mendatang nanti.
Teringat apabila bertandang ke rumah dia, bila dia tengok cucu-cucu dia tak makan pedas, mesti akan kena 'se-das' ayat dari dia. Hahaha.
"Kau tak makan pedas. Macam mana ni, kata cucu Minang..."
Dan aku selalu menjadi cucu yang akan menghabiskan makanan diatas meja sebab nampaknya hanya aku yang boleh menahan pedas (banyak minum air nak cover pedas sebenarnya). Dan dia sangat suka tambahkan nasi kalau cucu tu duduk sebelah dia. Pantang pinggan kau habis nasi, dia tambah lagi dan lagi. Aku ada jugak lah kena beberapa kali. Seminggu kenyang gayanya. Huhu.
Masa hari lahir aku tahun lepas, dia ada pesan sesuatu. Dia kata;
"Kau kalau senyum manis tau Ti. Cuba senyum macam Atok ni. Atok kalau senyum pun manis tau."
Masa tu aku tahan lagi. Tapi part aku tak tahan gelak bila dia buat gaya kalau dah tak boleh senyum sangat, senyum tipu-tipu macam dia buat. Dia pun buat lah gaya senyum tipu-tipu sampai nampak gigi. Hahaha. Atok.. Atok..
Atok,
Kalau Jumaat lepas kami masih melihat senyuman atok didepan mata, tapi Jumaat kali ini dan selepas ini mungkin hanya gambar yang menjadi tatapan mata. Kalau Jumaat lepas ada yang menanti ketibaan kami, anak-anak dan cucu-cucu, namun Jumaat kali ini hanya sepi yang menemani.
Ya,
Dulu Atok dah banyak beri kami 'tanda' sebelum pergi melalui kata-kata atok. Tapi kami buat tidak endah. Berulang atok mengatakan ayat yang sama dan kami masih juga menafikan.
"Atok dah tak lama dah ni..."
Masa tu hampir 2 minggu kita berhari raya dan Atok mengadu sakit dada lalu terus dibawa ke hospital. Masa itu aku masih dirumahnya. Aku sendiri menyaksikan bagaimana dia mengadu sakit dada dan dalam masa yang sama dia menahan sakit dihadapan cucu-cucunya.
"Atok takde pape. Sikit je ni..."
Dan itulah kemuncak sebelum pemergian Atok. Atok juga berulang-kali cakap;
Beberapa bulan sebelum pemergian dia, ada jugak dia cerita about 'something'. Katanya, selalu sangat dia rasa ada orang perhati dia. Ada satu masa sebelum Subuh, ada sesuatu kacau dia sampai dia tak boleh tidur semula. Maka, berjagalah dia sampai tibanya waktu Subuh. Dan bila kami tanya itu apa, dia kata "Ala biasalah. Bukan kita je ada dalam rumah ni. Kadang Atok tengah baca surat khabar, rasa macam ada orang tengah baca sekali kat belakang Atok. Hahaha. Tapi Atok kata dah aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku." -- Sempat lagi dia gelak dalam masa kami merasa seram dengar cerita dia.
"Atok nak buat kenduri tahlil lepas raya nanti dekat rumah ni..." (di Kuala Selangor)
Dan sungguh tak sangka, itu lah tahlil untuk Atok. Terlalu cepat. Namun kami perlu untuk menerima hakikat. Mati itu benar, kan Atok? Dan turun ke liang lahad itu juga benar. Saat berpisahnya kemewahan kita dengan dunia. Terpisahnya dengan orang-orang yang kita sayang. Yang pergi takkan kembali. Malah yang hidup itu akan menyusul pergi.
Aku tahu, setiap kisah-kisah yang Atok ceritakan pada kami dahulu itu bukan hanya sekadar suka-suka. Setiap kisah yang diceritakan itu malah membawa makna. Dan pada 19 Julai 2016 itu, aku hanya melihat sekujur tubuh yang kaku. Diam dan lena.
"Selagi orang-orang yang kita sayang masih ada, ciptalah seberapa banyak kenangan indah bersama. Kelak, kenangan itu lah yang akan menjadi peneman kita disaat mereka telah tiada."
Tenanglah kau disana wahai insan tercinta.
Al-Fatihah.
Abd Aziz Bin Haji Sharif
5 April 1948 - 19 Julai 2016 (8.03pm)
Subscribe to:
Posts (Atom)